Tuesday 15 November 2011

Makan percuma di Belinda nasi ayam...




APAKAH perasaan anda jika ketika ingin membayar harga nasi ayam yang dimakan, tiba-tiba juruwang memberitahu: "Tidak perlu bayar, hari ini makan percuma di sini."
Ia tentu menyeronokkan bukan? Kejutan itu juga sebenarnya menanti pelanggan bertuah di restoran Belinda Nasi Ayam.
Restoran yang terletak di Pusat Perdagangan Tuanku Haminah itu memperkenalkan konsep makan percuma sebulan sekali kepada pelanggan bertuah.
Pemiliknya, Rose Belinda Jusoh, 36, berkata, ia sebagai menghargai pelanggan yang menyokong perniagaan mereka, selain bagi tujuan mempromosi nasi ayamnya.
"Sebulan sekali kami akan belanja pelanggan bertuah dengan hidangan nasi ayam. Tarikhnya akan ditetapkan iaitu antara 15 hingga 20 hari bulan, bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
"Harinya juga tidak ditetapkan kerana ingin mengejutkan pelanggan. Seronok juga bila melihat wajah terkejut pelanggan yang kemudian sangat gembira apabila diberitahu perkara ini," katanya ketika ditemui S2 di restoran tersebut
.
Menurut Rose Belinda yang juga merupakan seorang usahawan kedai gambar, restoran berkenaan menyediakan tiga set menu nasi ayam iaitu Nasi Ayam Ayam Kampung berharga RM8 satu set, Nasi Ayam Special (RM6) dan Nasi Ayam Biasa (RM3.80).
"Setiap menu didatangkan dengan kicap istimewa yang mempunyai resipi rahsia kami yang dicipta dengan nasihat anggota keluarga dan rakan-rakan terdekat.
"Nasi Ayam Ayam Kampung antara yang digemari termasuk di kalangan orang Tionghua," katanya yang sudah 10 tahun menceburi bidang perniagaan.
Kata Rose Belinda, satu lagi menu yang dijangka akan digemari adalah nasi ayam yang menggunakan burung puyuh. Menu ini akan diperkenalkan tidak lama lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Bagi mengekalkan kualiti nasi dan ayam yang dimasak kata Rose Belinda, dia sendiri yang akan ke dapur setiap pagi untuk memasak hidangan tersebut.
"Restoran ini mempunyai 10 pembantu tetapi bila bab memasak, saya sendiri yang akan buat bagi memastikan kualiti masakan," jelas ibu kepada empat anak ini.
Wanita tersebut menguruskan restoran tersebut bersama birasnya, Salmi Chin, 38, dengan dorongan suami tersayang, Ranzi Halim, 40, yang juga merupakan seorang usahawan.
Menurut Ranzi, berbeza dengan perniagaan restoran nasi ayam lain, restoran berkenaan memperkenalkan konsep kopitiam.

Sumber : Utusan Malaysia Online

1 comment:

jerung said...

i like.... bile gamak nyer nak serang nasi ayamm... nyammy2

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...